Sememangnya hidup kita sentiasa berada dalam kesukaran dan kesusahan. Susah dan sukar diri kita sebagai manusia beriman. Sukar kerana sang nafsu sentiasa mengajak kearah kebinasaan dan kerosakan. "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku ( maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu ). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Surah Yusuf Ayat 53.
.
Iman mengajak kepada Allah SWT. Diri yang dikuasai iman akan tenang dengan keyakinan kepada Allah. Berlakulah suatu tindakan murni dan bersih mengikut acuan al-Islam. Tetapi kadang-kadang berlaku dalam hati bilamana mengikut acuan agama akan kehilangan pengaruh dan penghormatan. Seorang yang ingin mengikut acuan agama terpaksa merendah diri dan berlaku jujur kepada orang lain.
.
Ketulenan dan keaslian dalam hidup beragama seseorang itu dapat dilihat ketika belum diuji dengan kebendaan. Keikhlasan seseorang dalam beragama dapat dilihat jika belum bertembung diri dengan tafsiran pengaruh dalam masyarakat atau persatuan.
.
Sukarnya mendapatkan ikhlas kerana terpaksa berkorban hati dan perasaan. Menerima cadangan dan pandangan seseorang hakikatnya bukanlah merendah dan menghina diri kepada pencadang dan pengutara pandangan itu. Tetapi bagi seorang yang berhati rosak mementingkan diri dan peribadi akan bertukar rahsia hati dimana dirinya merasa menerima pandangan orang lain akan menjatuh nilai penghormatan dan maruah dirinya.